Wednesday, April 21, 2010

Cinta


“Kadang-kadang aku tengok orang yang ‘kuat’ sikit dengan Islam ni, mesti nak consider pasal nikah ni benda yang pentingkan?”, kata seorang rakan saya sambil melihat preview filem Ketika Cinta Bertasbih.

Saya menguntum senyum.

Soal ini ada benarnya kerana antara kami berbeza latar belakang dan kesedaran saya juga agak berbeza tentang hal ini.

Lantas saya menjawab sekadar mampu.

Untuk menghuraikan soal cinta, ceritanya bagi umat Islam adalah menjurus kepada sebuah pernikahan. Namun untuk menguraikan erti cinta dan nikah, saya tidak mampu menghurainya dengan tepat lantaran begitu banyaknya pemahaman cinta yang telah diungkapkan. Bagi saya persoalan cinta dalam diri adalah jawapan bagi definisi cinta itu.

Justeru, lebih mudah untuk saya terangkan di sini, dalam dunia yang semakin meningkat dari segenap segi ini, ujian bagi seorang muslim juga bukan mudah khususnya para remaja kini. Papan tanda, produk, iklan, tv, internet, filem hampir keseluruhannya menjurus kepada erti cinta dan percintaan. Lantas bagaimana mahu mengelaknya?

Sebab itu, kalau bagi seorang muslim yang jiwanya mula terkesan dengan momentum cinta, mahu menyayangi dan ingin disayangi, tentu mencari jalan untuk mengerti definisi dirinya tentang cinta. Untuk menurut hati, ada yang terjerat dengan penafsiran yang silap, lantas menghinakan diri dengan percintaan yang salah. Yang mengerti, sudah tentu mengidamnya atas menginginkan keredaan-Nya dengan satu cara sahaja : nikah!

MENCARI CINTA ATAS LANDASAN ILAHI

Jauh jika dibandingkan dengan apa yang telah ditayangkan di media massa, anda telah melihat betapa mudahnya harga sekuntum cinta di petik dengan mudah. Kadang-kadang menjadi pelik cinta yang dijumpai itu bermula dengan bertemu di bar-bar kafe, bergaduh, tepi jalan, terlanggar malah ada juga cerita cinta yang bermula di hadapan tandas(cerita Melayu)!

Dengan plot-plot yang pelbagai ragam dan beraneka macam ini, anda akan melihatnya berakhir dengan satu unsur tipikal : mati, bercerai, atau happily ever after.

Berhenti di sana.

Happily ever after?

Mungkin. But not necessarily at hereafter!

Itu apa yang telah kita selami stereotipikal cinta dalam media. Tapi tahukah anda, ada satu cerita cinta yang lebih pelik, aneh, tetapi sangat menakjubkan?

Anda akan melihat beberapa orang yang hidupnya seolah-olah hidupnya tidak mahu bercinta. Jika bertemunya ia seolah-olah sombong, menundukkan pandangan, menjaga tutur bicaranya. Dia tidak mahu pertemuannya dengan yang bukan muhrim semudah-mudahnya. Adakah dia benar-benar tidak normal tidak mahukan cinta atau gila?

Mungkin ada yang berfikir sedemikian.

Syadid atau tegasnya seseorang itu pada pendiriannya sebenarnya adalah lebih dari cinta. Seseorang itu tidak akan mahu menjadi orang yang terpelihara andai bukan kerana cinta. Malah tidak juga ia ingin melakukan demikan melainkan kerana kesilapan dan kelalaian mungkin akan merosakkan cintanya.

Cinta itulah cinta yang mendalam terhadap Allah dan Rasulnya.

Masih tidak cukup!

Juga cinta terhadap seseorang selepas Allah dan Rasul, yang akan menjaganya jiwa dan raga, hidupnya dan masa depannya, tetapi dia masih tidak tahu siapakah gerangannya insan itu!

Lantas dia masih bersikap demikian untuk menjaga cintanya. Sebab itu jangan terperanjat andai saya menyatakan cinta yang seperti ini jauh lebih romantik dari Romeo & Juliet, lebih bahagia dari Cinderella, lebih senang dari orang yang mempunyai kekayaan seluruh harta bumi.

Kerana cintanya dipaksikan dengan landasan akhirat.

Belum ada lagi dunia menceritakan cinta seperti ini melainkan adanya pada orang-orang mukmin.

Pengorbanannya luar biasa, kesabarannya luar biasa, keindahannya luar biasa, sudah tentu nikmat-nikmat ini dia peroleh kerana CINTA ALLAH dan CINTA RASUL menjadi panduan utama.

Nah, masih mahu lagi menodai erti cintamu dengan valentine’s day?

Rasailah ketenteraman, kasih sayang, yang sangat besar buat isteri/suami yang akan hadir dari jenismu sendiri.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (Surah Ar-Rum : 21)

Berusahalah mencari yang terbaik dengan menjadi dan memberi.

Pesanan cinta tulus buat diriku~

1 comment: